Pada suatu malam minggu yang lalu, seperti biasa setelah jemu dengan berita dan isu berjela tentang politik di Malaysia, saya akan menukar saluran ke program bual bicara popular di dunia. Siapa lagi, kalau bukan si makcik yang obses untuk kurus, Oprah Winfrey, yang programnya mencecah jutaan penonton saban malam di seluruh dunia.
Namun, amat menyakitkan hati apabila menonton program TV Oprah, dia didapati membawa agenda tersendiri demi menzahirkan penentangannya terhadap Islam. Ketika umat Islam sedang derita di Gaza, juga sedang mengamuk amarah di mana-mana, Oprah dengan selamba dan yakin diri, membawa isu Yahudi yang dizalimi ketika Perang Dunia Kedua. Oprah menampilkan si nenek tua berbangsa Yahudi yang ada sejarah hitam di balik sejarah Holocaust, ke atas pentas studio TVnya sekaligus menggambarkan percubaannya untuk reverse psychology masyarakat dunia. Dia tahu, rata-rata insan berfikiran normal sedang berang dengan kezaliman dan kebiadapan Yahudi yang jelas melanggar hak asasi manusia. Justeru, mungkin akalnya berstrategi, dengan membawa individu-individu Yahudi yang pernah dizalimi oleh raksasa Nazi, maka kebencian terhadap Yahudi boleh bertukar simpati.
Islam di Mata Oprah
Oprah sesekali dalam setahun akan membawakan isu Islam ke kaca TV penontonnya. Lebih-lebih lagi setelah 11 September 2001, Oprah telah mengendalikan program bual bicara ‘Islam 101’ yang menjemput ramai umat Islam ke pentasnya, daripada individu yang berstatus sarjana, sehinggalah yang paling jahil tentang agamanya, juga daripada individu biasa sehinggalah kepada permaisuri raja (Jordan). Namun, motif Oprah sangat jelas. Idea feminisme yang dipegangnya sangat mendasari setiap bicara, soalan, kritikan dan lontaran fikirannya. Justeru, tidak hairanlah jika ramai yang memberi reaksi negatif terhadap Islam apabila selesai menonton program Oprah berkenaan, walaupun ada suara yang mengatakan ia turut memberi kebaikan kepada Islam.
Ramai sarjana yang menyentuh isu Oprah dan Islam ini. Jangan tidak percaya, selebriti yang seorang ini sebenarnya adalah lambang pemikiran rakyat Amerika tentang Islam. Dalam buku The Trouble with Islam Today, karya Irshad Manji, Oprah membawakan ke hadapan khalayak seorang wanita yang berhadapan dengan hukuman had zina iaitu direjam sampai mati, juga wanita Islam yang disimbah asid kerana isu maruah dan beberapa kes lagi. Walaupun mungkin Oprah sekadar ingin mendedahkan penderitaan wanita-wanita Islam tersebut, namun niat utamanya untuk mengkritik perundangan Islam sangat jelas.
Selain itu juga, Oprah dilihat bersikap provokatif terhadap tetamu yang ingin menceritakan tentang Islam. Soalan tajam dan penuh kritikal dihambur terutamanya jika berkaitan dengan taraf wanita dalam Islam. Dalam buku Living with Terrorism, Steven C. King telah memetik beberapa sumber untuk menggambarkan bagaimana Oprah menzahirkan dirinya sebagai seorang yang sangat kritikal terhadap ajaran Islam, termasuklah isu hijab. Selanjutnya, Oprah yang gemarkan topik kontroversi, seakan-akan lupa bahawa topik yang dibicarakan boleh memberikan penonton seluruh dunia memandang Islam adalah agama yang menindas wanita dan wanita Islam perlu dibebaskan daripada cengkaman itu.
Biarpun Mereka Membenci
Oprah dan wajah masamnya terhadap Islam adalah sebahagian daripada cermin Islamophobia dunia barat terhadap Islam. Cermin itu membiaskan cahaya yang cukup kuat sehingga meyakinkan warga barat untuk percaya bahawa Islam bukanlah agama selamat.
Mereka adalah individu yang tidak pernah memahami Islam menerusi pintu yang betul dan akan terus berprasangka dengan agama ini walaupun mereka merasakan kajian dan penilaian tentang Islam telah lama dibuat. Sememangnya Yahudi dan Nasrani tidak akan redha dengan Islam, walaupun mereka kelihatan seakan-seakan untuk mencari titik pertemuan antara Islam dan agama mereka. Ditambah lagi, individu popular atau selebriti seperti Oprah, apabila melemparkan kritikan tajam, penghinaan dan ejekan terhadap Islam dan syariatnya, ia berupaya untuk mempengaruhi persepsi masyarakat tentang Islam itu sendiri.
Apakah reaksi kita apabila menonton seseorang individu begitu lancang mengkritik Islam di kaca TV? Membalas semula kata-katanya itu dengan cercaan dan kutukan? Atau lebih tinggi dari itu, dengan melaknat mereka dan mendoakan kehancuran kepada mereka? Mari kita fikirkan, apakah respon spontan kita? Sememangnya, terdapat kebiasaan di kalangan umat Islam yang mudah mengeluarkan perkataan laknat kepada individu non-Muslim jika mendengar atau melihat mereka menyebut dan melakukan perkara yang menghina Islam.
Islam menetapkan bahawa perkataan laknat dan keputusan untuk melaknat adalah milik Allah. Apa yang Allah telah laknat (kerana adanya nas al-Quran dan al-Sunnah), maka kita dibenarkan juga untuk melaknatnya seperti Iblis, Fir’aun, Abu Lahab, Abu Jahal dan orang yang mati dalam kekafiran. Selain itu, Islam juga membenarkan kita melaknat orang Nasrani dan Yahudi secara umum atau keseluruhannya, tetapi bukannya dengan mengkhususkan kepada individu tertentu. (Ibn Muflih, al-Adab al-Syar’iyah, Bab: Hukm al-La’n wa La’n al-Mu’aiyan, jil. 1, hlm. 336-346.)
Satu hadith daripada Ibn Umar:
أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِىَّ – صلى الله عليه وسلم – يَقُولُ فِى صَلاَةِ الْفَجْرِ رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ قَالَ « اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ فِى الأَخِيرَةِ » . ثُمَّ قَالَ « اللَّهُمَّ الْعَنْ فُلاَنًا وَفُلاَنًا » . فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ – لَيْسَ لَكَ مِنَ الأَمْرِ شَىْءٌ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ أَوْ يُعَذِّبَهُمْ فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ
Maksud: Sesungguhnya dia mendengar Nabi s.a.w. membaca sewaktu solat Subuh ketika mengangkat kepalanya daripada rukuk : سمع الله لمن حمده، ربنا ولك الحمد. Kemudian, baginda berdoa: “Ya Allah, Engkau laknatlah si fulan, si fulan, si fulan. Allah menurunkan ayat: لَيْسَ لَكَ مِنَ الأَمْرِ شَىْءٌ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ أَوْ يُعَذِّبَهُمْ فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ. (Maksud: Engkau tidak berhak sedikitpun (Wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah), sama ada dia menerima taubat mereka ataupun ia menyeksa mereka; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim. Surah Ali Imran: 128) (al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, jil. 24, hlm. 155, no. Hadith:7346)
Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith di atas, menyatakan:
“Ibn Battal menukilkan pendapat yang menyatakan bahawa keharusan mendoakan kebaikan kepada orang musyrikin itu dibatalkan oleh keharusan mendoakan keburukan untuk mereka berasaskan kepada dalil firman Allah dalam ayat 128, Ali Imran. Dia (Ibn Battal) berkata, majoriti ulama berpandangan ia tidak dimansuhkan dan mendoakan keburukan untuk orang musyrikin itu adalah harus. Manakala larangan daripadanya (doa keburukan) adalah bagi sesiapa yang diharapkan dapat menerima dan memeluk Islam. Boleh jadi penyerasian di antara keduanya (dalil tersebut) ialah keharusan bagi doa yang menakutkan mereka daripada terus berada dalam keadaan kufur. Manakala larangan pula ialah jika mendoakan agar mereka hancur (mati) dalam keadaan mereka kafir. (Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari li Syarh Sahih al-Bukhari, jil. 18, hlm. 188)
Inilah pendirian Islam. Kita tidak boleh melaknat mereka atau mendoakan kehancuran ke atas individu kafir secara khusus (dengan menamakan individu tertentu), tetapi dibolehkan kepada orang kafir secara umum. Ini bermakna kita tidak boleh melaknat dan mendoakan keburukan kepada Oprah, atau mana-mana individu kafir yang memusuhi Islam. Ini kerana mereka mungkin akan memeluk Islam sebelum mereka meninggal dunia.
Doakanlah mereka
Biarpun mereka membenci Islam, marilah kita mendoakan agar mereka mendapat hidayah daripada Allah. Memandangkan individu seperti Oprah ini mempunyai kesungguhan untuk menilai dan mengkaji, maka kita berharap dia dan orang seumpamanya akan temui keindahan Islam di mana-mana bahan bacaan. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah, dan kita doakanlah mereka agar Allah memberikan cahaya iman di hati mereka.
Inilah keindahan Islam dalam berakhlak walaupun pada orang-orang yang kafir. Walaupun kita dan Islam disakiti, kita membalasnya dengan kebaikan, malah mengelakkan diri daripada mendoakan mereka dengan keburukan atau melaknat mereka.
Oprah, yang kuat mengkritik Islam, kita pohonkan pada Allah agar berubah, menjadi jurucakap kepada Islam. Berhijrah daripada kekufuran kepada keimanan.
Oleh:
Mohd. Al Adib bin Samuri
www.al-adib.net
© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.